Saturday, February 7, 2009

PERAK:PERCEPAT PROSES MAHKAMAH

Untuk Hentikan Kemelut Politik Perak
Percepatkan Proses Mahkamah

APABILA Pengerusi DAP, Karpal Singh bercadang untuk menyaman Sultan Perak dan Menteri Besar Rakyat, Mohamad Nizar Jamaluddin pula hedak saman Menteri Besar Perak yang baru, Zambry Kadir, pihak yang merasai menang dan mendapat manfaat dengan rampasan kuasa di Perak ramai-ramai mengatakan perbuatan itu biadap. Langkah itu dikecam hebat kononnya perbuatan itu menghina Raja.

Maka dicaci cercalah orang yang melakukan ‘kebiadapan’ itu dengan macam-macam cacian dan sumpah seranah yang pedih telinga mendengarnya.

Ada yang mencadangkan supaya anugerah Datuk kepada Nizar Jamaluddin ditarik balik dan ada juga yang mencabar supaya Niazar dan Pakatan Rakyat supaya meninggalkan negara ini. Semua itu menunjukkan kepalang kemarahan kepada Karpal Singh, Nizar dan Pakatan Rakyat. Sekali lihat perasaan marah itu sangat melampau dan seolah pemikiran mereka lebih rendah daripada tahap pemikiran budak-budak pre sekolah.

Sekarang ini perang psikologi sedang berlaku bukan saja di Perak tetapi sudah merebak ke seluruh negara hatta ke Singapura. Bukan perang untuk mendapat kedudukan (kuasa) sebenarnya, tetapi perang untuk mempengaruhi rakyat dan mengambil hati rakyat. Ia berlaku antara Umno dengan Pakatan Rakyat. Kedua pihak masing-masing mahu momentum situasi hari ini berpihak kepada masing-masing kerana itulah bekalan dan senjata perang yang baik.
Bekalan dan modal ini akan disimpan untuk digunakan pada perang lebih besar dalam pilihan raya ke – 13 nanti.

Saya percaya Nizar yang sudah menyembahkan sembah derhaka itu tidak memimpikan lagi jawatan MB selepas ini. Kalau pun Pakatan Rakyat dapat menguasai semula DUN Perak, beliau sudah dapat merasakan tidak mungkin akan diterima semula menjadi MB. Disebabkan menurut perlembagaan Perak seseorang MB kena angkat sumpah di depan Sultan, mustahil Sutlan Azlan Shah bersedia untuk menerimanya. Makanya Pakatan ketika itu kena cari sultan baru untuk angkat sumpah!

Jadi apa yang beliau dan sedang dilakukan sekarang ini adalah mencari satu jawaban kepada apa yang dipercayai dari sudut perlembagaan dan undang-unang yang beliau yakin atas nasihat dan pandangan para pakar perlembagaan dan perundangannya.

Menurut Nizar beliau tidak akan berhenti menjadi MB. Nizar tahu kalau pun dia masih terus menjadi MB, dia tidak dapat manfaat apa-apa pun. Dia tidak akan menerima gaji, imbuhan dan apa-apa kemudahan kerana semuanya sudah menjadi milik dan hak kerajaan BN, kereta Camry baru pun mungkin sudah diserahkan. Nizar tahu itu. Tetapi apa yang dicari ialah kata pemutus yang mutlak dan boleh diyakini rakyat.

Jadi apa yang beliau perlakukan ialah mahukan keputusan itu saja. Begitu juga dengan cadangan Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak itu bukan apa melainkan beliau ingin mahkamah dan undang-undang memutuskan apa yang berlaku di Perak itu.

Di sini tidak timbul soal kedua mereka, Nizar, Karpal dan juga Pakatan Rakyat derhaka kepada Sultan atau menghina sultan. Tidak timbul yang Nizar sudah meroyan! Menderhaka dan menghina sultan itu diterjemahkan oleh Umno dan BN saja atas sebab-sebab semua faham kerana ia memberi keuntungan kepadanya.

Saya percaya kalau DUN Perak dibubar dan pilihan raya diadakan kemelut ini tidak berlaku dan politik Perak tidak jadi seperti tempoyak yang semakin membusuk dan berulat kini. Maruah semua pihak tidak akan terjejas. Sultan tidak tercemar namanya dan tidak akan berlaku baling dan merejam kereta oleh rakyat seperti dilaporkan.

Pihak Umno dan BN sendiri juga tidak rugi apa-apa kalau DUN dibubarkan. Kalau benar rakyat menyokong mereka, apa yang mereka perlu takutkan? Tetapi dengan mendapat kuasa dan MB dengan cara sihir bodoh, yang diprejudis dengan berbagai teknik dan strategi jahat begitu tidak boleh diterima.

Begitu juga dengan beranggapan Sultan Perak sebagai bekas Ketua Hakim Negara, pakar perundangan dan amat bijaksana serta amat arif yang mana tidak mungkin silap dan tindakan baginda itu sebagai ideal, adalah kurang betul dan kurang tepat. Kebenaran itu tidak boleh diterima hanya sekadar andaian ataupun berpandukan kepada akhlak baginda sebelum ini.
Lagipun suasana yang berlaku kini tidak pernah terjadi. Sekiranya ianya pernah berlaku maka mudahlah untuk diterimanya dan keabsahannya tidak perlu dipersoalkan lagi.

Jika keadaan demikian pernah berlaku, maka tidaklah sampai begitu jadinya. Orang Pakatan Rakyat, Nizar dan Karpal Singh juga bukan orang yang buta atau jahil dengan perundangan. Dalam hal ini kalau umum menerima apa yang dilakukan sultan itu atas anggapan beliau adil, tidak pernah buat silap adalah satu kesilapan. Kebenaran tidak menjadi benar apabila ia diucapkan oleh mereka yang berkuasa!

Generasi negara ini sudah berubah. Hari ini orang-orang yang makan bersela atau duduk bersimpuh juga sudah berubah. Semuanya kini makan di meja atau makan berdiri. Jadi mereka sudah tidak boleh dikabui dengan kuasa dan daulat yang mereka tidak nampak lagi atau adab resam yang sukar untuk diterima oleh pemikiran moden. Lainlah kalau mana-mana raja atau sultan dapat menunjukkan sakti mereka seperti mana dalam cerita-cerita komik baru rakyat boleh setuju dan patuh membuta tuli.

Benar kata Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, atas nama Islam setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan di akhirat kelak. “Ini bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung tidak kira raja, tok guru setaraf semuanya. Dan mereka bertanggungjawab kepada Allah diakhirat kelak.”

Penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut di Perak ialah biarlah mahkamah membuat keputusan. Proses saman yang dikemukakan Karpal Singh dan Nizar Jamaluddin itu perlu dipercepatkan. Sekiranya mahakmah sudah memutuskan dan didapati tindakan Sultan itu betul dan tidak bercanggah semua pihak harus terima dan hormat kepada keputusan itu.

Selepas itu terserahlah nanti kepada budibicara dan bijaksana kesemua 28 Adun Pakatan samada mereka perlu berada berada di Dewan atau pun bersedia meletakkan jawatan bagi membolehkan Adun baru dipilihkan. Bagi saya kesemua 28 Adun PKR itu tidak wajar lagi memasuki Dewan setelah mahkamah memutuskan bahawa proses rampas kuasa di Perak itu berlaku dengan betul dan tidak menyalah mana-mana undang-undang.

Sebaliknya kalau mahkamah memutuskan sebaliknya maka sultan dan kesemua 28 Adun Umno hendaknya menerimanya dengan terbuka dan redha.

Soal tuduhan derhaka dan menghina raja yang dilemparkan oleh sesetengah pemimpin Umno itu, saya tidak mahu mengomen apa-apa cuma ingin mengingatkan supaya mereka ramai-ramai ke arkib negara membelek semula surat khabar dan jurnal membaca semula segala peristiwa yang berlaku pada tahun-tuhun 80-an dulu bagaimana sikap dan pe'el pemimpin kerajaan BN Umno mengkritik raja-raja Melayu ketika berlaku krisis perlembagaan waktu itu.

mso
- malaysiakini

No comments: