Tuesday, February 17, 2009

DASAR PELAJARAN BAWAH UMNO CARCA MARBA

Umum mengetahui Malaysia mempunyai sejarah tersendiri dengan sistem pelajaran di Malaysia. Dahulunya Kementerian Pelajaran dikenali sebagai Kementerian Pendidikan. Namun atas rasional kenapa, dan apa sebabnya tidaklah saya ketahui.

Semenjak dari zaman Dato seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Menteri Pendidikan ketika itu, satu persatu pembaharuan demi pembaharuan dilaksanakan. Sewaktu itu Bahasa Malaysia dikenali Bahasa BAKU. Setengahnya secara sinis memanggil BAHASA ANAK KEDAH UTARA. Akhirnya setelah Anwar dijatuhkan dengan cara yang sangat memalukan oleh UMNO sendiri maka, Tun Mahathir ketika itu cuba membuang pengaruh Anwar di hati rakyat dengan meminta kementerian menukar Bahasa Baku kepada kejadian asalnya. Berkuburlah bahasa baku disertai berkuburnya wang rakyat dalam menerbitkan buku tersebut sebagai buku pinjaman Teks. Melahirkan buku baru juga mengorbankan wang rakyat yang saya kira bukanlah sedikit bagi orang miskin dan sederhana bagi majoriti rakyat Malaysia.

Saya tidak mahu mengulas cerita yang lama. Terlalu banyak sikap 'sekejap ambik dan kemudian buang" dalam lanskap pendidikan di Malaysia ini. Kemudian, beberapa tahun yang lalu lahirlah idea Tun Mahathir agar matapelajaran Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris. Alasannya ketika itu buku-buku rujukan dalam bidang tersebut untuk tahap Universiti kebanyakan dalam bahasa Inggeris. Maka ramailah yang menyokong dan ada pula yang menentang. Sekali lagi wang rakyat perlu dikorbankan bagi mencetak buku-buku baru yang dialih bahasa. UMNO dan BN begitu mudah mengeluarkan wang dalam melaksanakan sesuatu yang baru. Kita lupakan dahulu soal wang yang dibelanjakan. Kita ingin fokus kepada situasi penggunaan bahasa Inggeris.


Kita sudah lama mengetahui betapa pentingnya bahasa untuk sesuatu bangsa dan negara. Untuk menjadi negara maju kita tidak perlu menukar bahasa pembelajran kita. kita lihat sahaja negara Filipina yang tidak semaju yang diharapkan walaupun bahasa keutamaan mereka bahasa Inggeris. Kita lihat bagaimana negara-negara maju seperti Jepun, Korea, France, Jerman yang begitu maju walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri. Rakan-rakan saya yang belajar di France memberitahu saya, di sana jika bercakap bahasa inggeris kita tidak akan dilayan. Namun cuba lihat bagaimana kemajuan mereka mencipta keretapi TGV yang dikhabarkan bergerak hampir 500km/j.

Hasil daripada implementasi tersebut, pelajar-pelajar Melayu terutamanya menjadi mangsa. Pelajar-pelajar Melayu selama ini yang begitu lemah dalam sains dan metamatik semakin ketinggalan. Anak-anak diluar bandar semakin hilang minat memandang latarbelakang mereka itu sendiri yang tidak mampu belajar Inggeris dari keluarga mereka. Adakalanya apabila keputusan UPSR keluar kita merasakan seperti ada sesuatu yang tak kena. Seringkali akan diwar-warkan peratusan kelulusan yang cemerlang meningkat dengan begitu tinggi. Sekolah-sekolah yang selama ini peratusan kelulusan dalam sains dan matematik yang rendah tiba-tiba meningkat secara mendadak selepas bahasa Inggeris diperkenalkan. Ianya menjadi penanda aras yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.


Ketika ini kerajaan tetap berdegil dengan keputusan untuk meneruskan dasar bahasa Inggeris mereka walaupun MCA sendiri menentang dasar tersebut. GAPENA pula sudah membuat laporan Polis dalam usaha untuk menghalang dasar ini. Para NGO dikhabarkan akan membuat bantahan bersama 100ribu rakyat. PAS juga akan menyertai bantahan tersebut. Sudah tiba masanya kita menghentikan segala tindak tanduk carca-marba oleh UMNO khususnya dan BN umumnya. Dengan kebangkitan rakyat menghalang setiap sesuatu yang merugikan rakyat oleh UMNO dan BN, saya yakin rakyat akan lebih cemerlang dan pastinya dapat memberikan peringatan terhadap kerajaan dalam menilai tindak-tanduk mereka sesuka hati pada masa hadapan. Jadilah rakyat yang sentiasa peka dan berfikir demi masa hadapan anak cucu kita.

JIKA KITA TIDAK PERTAHANKAN BAHASA MELAYU SIAPA LAGI? JADILAH SEBUAH BANGSA YANG BERJIWA MERDEKA DENGAN MENGAGUNGKAN ISLAM DITEMPAT YANG PALING ATAS!!
http://sentuhanrakyat.blogspot.com/

No comments: