Thursday, February 19, 2009

Nota Ucapan Menjunjung Kasih Titah DYMM SPB Yang Dipertuan Agong oleh DS Anwar Ibrahim

DRAF NOTA PEMBUKAAN TEKS UCAPAN MENJUNJUNG KASIH KEPADA DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG OLEH: YANG BERHORMAT DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH

Tan Sri Yang Di- Pertua,

Dengan penuh tanggungjawab saya Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang, berdiri di sini untuk membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan, seharusnya memandang serius jika terdapat kecurangan serta pelanggaran ke atas prinsip-prinsip demokratik.

Sukacita saya kerana DYMM Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu membacakan titah, Baginda ada menyatakan bahawa keluhuran Perlembagaan semestinya dipelihara.(Perenggan ke 21 Titah YDPA)

Sesuai dengan gesaan Seri Paduka Baginda YDPA (Perenggan 22 Titah YDPA) Perlembagaan selaku dokumen penting yang menjadi sendi kepada negara seharusnya dihormati. Ianya menggariskan perimeter serta tanggungjawab sebuah negara kepada rakyatnya, dan tanggungjawab rakyat kepada negaranya.

Membicarakan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan di negara ini, kita pasti tidak terlepas dari membicarakan permahsyuran kemerdekaan yang dibaca oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj:

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Tan Sri Yang Di Pertua,

Ada 3 perkara utama yang menjadi asas kepada permahsyuran tersebut:
1) Keutamaan Raja-Raja Melayu
2) Hak Asasi dan Kebebasan Rakyat Malaysia
3) Sebuah negara aman makmur, yang mengamalkan sistem demokrasi dan raja berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang nya terjaga dan tidak diceroboh.

Permahsyuran ini merupakan satu aspirasi yang ucapkan dari seorang pejuang kemerdekaan, yang ingin kan negara nya tetap berdiri teguh walau untuk seribu tahun lagi. Namun janganlah kita lupa apa yang dizahirkan dari permahsyuran ini bukannya kehendak dari seorang sahaja, akan tetapi ia adalah penzahiran dan manifestasi iltizam rakyat keseluruhannya walau apapun latar etnik dan agamanya.

Mutakhir ini sering sekali perkataan “derhaka” dilaung-laungkan, dan digunakan demi kepentingan politik segelintir. Muflis etika dalam berpolitik lalu mendorong Umno menggunakan sentimen kaum demi merencatkan arus Perubahan yang melanda.

Lebih parah lagi media yang sanggup untuk ditunggangi oleh politik sebegini, siang malam memintal propaganda sedemikian rupa demi melaga-lagakan institusi Raja dengan Pakatan Rakyat.

Saya menyeru Dewan Yang Mulia ini marilah kita menghimbau kisah Si Kitul dengan rakan konspirasinya Raja Mendeliar, yang tercatat dalam teks klasik; Sejarah Melayu. Akibat hasutan dan fitnah Si Kitul dan dikuatkan pula dengan kekayaan Raja Mendeliar, laksamana akhirnya termakan umpan lalu menyampaikan kepada sultan bahawa bendahara cuba untuk menderhaka.

Apabila dipersembahkan oleh laksamana bahawa bendahara akan menderhaka, Sultan terus membuat keputusan tanpa usul periksa dengan membunuh bendahara dan seisi keluarganya kecuali Tun Fatimah.

Betapa bahayanya dakyah serta fitnah yang direkayasa oleh si kitul dan raja mendeliar ini. Mengadu domba lalu bertindak memporak-perandakan kesultanan dan pemerintahan ketika itu.

Sekarang muncul kembali si kitul dan raja mendeliar moden; iaitu media yang tidak bertanggungjawab dan rakan konspirasinya; kerajaan Umno-Bn. Tetap setia bersama dalam meneruskan agenda mengadu domba dan merosakkan sistem dengan rasuah dan politik konspirasi demi kepentingan segelintir. Retorik sama masih diulang-ulang, “derhaka,derhaka,derhaka.”

Sekonyong-konyong mereka lah pejuang hak umat Melayu yang sejati dan murni. Sentiasa siap kononnya mempertahankan hak Melayu. Hak untuk terus bermaharajalela, memastikan rasuah tetap berleluasa dan khazanah dirampok atas nama komisen?

Lupakah mereka akan pindaan Perlembagaan 1993? Angkara siapakah ini? Sewaktu PM di kala itu memburuk-burukkan imej Institusi Raja-Raja Melayu, apakah media seperti Utusan Malaysia mempertahankan kemuliaan Raja-Raja Melayu? Bahkan mereka yang lebih sudu dari kuah. Kononnya semua mendakap semangat Hang Jebat. Apabila martabat Bahasa Melayu dinjak-injak semuanya menikus.

Pada 18 Januari 1993 ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan(Pindaan) dalam Dewan Yang Mulia ini, Perdana Menteri di saat itu ada menyebut:

Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah suatu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara ini Raja tidak lagi boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.

Ini adalah perkataan YAB Perdana Menteri ketika itu. Ayat terakhir ternyata bernada menghina Institusi Raja. Yang pasti tidak ada siapa yang berani menghunjam tangan ke langit sambil meneriakkan derhaka!

Kesan dari pindaan Perlembagaan tahun 1993 itu, kita lihat kekebalan Raja-Raja Melayu telah ditarik oleh kekuasaan politik Umno. Perkara 181(2) misalnya mengalami pindaan drastik dengan wujudnya mahkamah khas untuk mendengar kes-kes yang membabitkan Raja-Raja Melayu sekalian.
Mungkin ada dalam Dewan ini menuding jari ke arah saya bahawa saya juga sebahagian dari pentadbiran pada waktu itu, namun ingin saya tegaskan di sini sepanjang kempen penerangan tahun 1993, yang sering saya ulangi ialah kembalikan kekuasaan kepada rakyat.

Malah saya giat berunding dengan Raja-Raja Melayu untuk mencapai persepakatan terutamanya dengan Sultan Azlan Shah, Seri Paduka Baginda YDPA ketika itu.

Gesaan segelintir yang meminta-minta agar sesiapa yang memperkatakan berkenaan peruntukan-peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak serta Perlembagaan Persekutuan ditahan di bawah ISA sungguh tidak bertanggungjawab.

Apa yang saya utarakan tidak bercanggah bahkan selari dengan aspirasi yang tertuang dalam Perlembagaan Persekutuan serta Sistem Raja Berperlembagaan negara ini. Malah laungan derhaka yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat( contoh: YB Karpal Singh) itulah yang membelakangkan semangat Sistem Raja Berperlembagaan.

Mereka itulah yang sebenarnya menderhaka, bukan sahaja kepada Institusi Raja yang bertanggungjawab melindungi Perlembagaan, akan tetapi juga kepada Rakyat.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Tindakan Umno yang berpolitik sehingga sanggup membelakangkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak sebenarnya mencemar kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu.

Sayugia diingatkan demi dicatatkan secara rasmi dalam Dewan Yang Mulia ini, ketika berucap di konvensyen Parti Keadilan Rakyat ke 5 tempoh hari saya bahkan mencadangkan agar imuniti/kekebalan Raja-Raja Melayu dikembalikan sejajar dengan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Kita berpegang pada prinsip rex non potest peccare iaitu raja tidak melakukan kesalahan selagi mana dia berada dalam perimeter/sempadan undang-undang. But Kings, that could not wrong, because Their Power was circumscrib’d by Laws( Raja tidak melakukan kesalahan kerana kuasa mereka terikat dengan undang-undang) kata Bernard Mandeville dalam The Grumbling Hive (1705).

Umum mengetahui Perlembagaan kita mengambil model perlembagaan Westminster. Tidak terelakkan wacana perlembagaan sebegini pastinya terkesan dengan debat di antara pemikir Inggeris John Locke dan Thomas Hobbes. Karya mereka; Two Treatises of Government dan Leviathan menjadi rujukan akan apakah konsepsi asas akan sesuatu Perlembagaan sesebuah negara itu.

Oleh kerana itu kebebasan, demokrasi dan semangat perlembagaan sering dicemuh kononnya meniru acuan barat. Saya mengambil kesempatan untuk membawa ahli parlimen sekalian merenung karya Bukhari al-Jauhari, ditulis di Acheh dan terbit sekitar tahun 1603 yang berjudul Taj-us Salatin (Mahkota Segala Raja):

“Sesungguhnya Allah Taala menitahkan akan adil dan ihsan…dan barang siapa daripada raja-raja yang tiada dua peri ini padanya tiada dapat dibilang raja adanya.”

M.B Hooker di dalam Islam in South-East Asia mungkin sahaja tidak bersetuju dengan pendekatan Bukhari al Jauhari, yang menurut beliau berhujah dengan mengambil asas-asas agama Islam, lalu menggunakannya bagi membentuk satu faham politik tinggi demi kesejahteraan rakyat dan negara. Namun Hooker lupa John Locke juga mengambil pendekatan yang sama apabila menulis Two Treatises of Government yang mulai beredar pada tahun 1689 dengan nama De Morbo Gallico( Penyakit Peranchis), 86 tahun selepas Taj-us Salatin ditulis.

Perhatikan bahawa pada abad ke 17 sudah ada pemikir Melayu yang mengutarakan betapa sang pemerintah memiliki sempadannya. Batasan inilah dalam sistem perundangan moden sekarang, kita kenal sebagai Perlembagaan. Ianya bukan semata-semata acuan barat. Kita orang Melayu sudah lama berakar beradat dengan fahaman politik yang menjunjung tinggi keadilan dan menentang kezaliman.

Marilah kita bersama-sama merenungi Hikayat Hang Tuah, Bab 15, apabila Bendahara Paduka Raja bertindak menyalahi keputusan Sultan Melaka ketika itu. Sang Bendahara memutuskan untuk tidak membunuh Tun Tuah dan disembunyikan di Hulu Melaka.

Derhaka Bendahara Paduka Raja bukannya derhaka Jebat. Malah sikap memanda menteri itu mempunyai persamaan dengan sikap Edmund Burke yang berselisih pendapat dengan Thomas Paine, penulis Rights of Man itu. Pemikiran Burke tercurah dalam dalam karya Reflections on French Revolutiuon (Permenungan Ke atas Revolusi Peranchis).

Kita perlu mendalami apakah sebenarnya imajinasi Hikayat Hang Tuah itu, karya klasik Melayu, yang berupaya membentuk peribadi serta kebudayaan kita.

Membaca Karya tersebut bahkan menerbitkan kekaguman betapa sesungguhnya ada penulis di alam Melayu ini setanding dengan Edmund Burke dan pemikiran politik yang setara dengan Reflections on French Revolution.

Sikap Bendahara Paduka Raja itulah hendak kita garap dan hayati. Kita seharusnya mengambil iktibar dari sikap serta tindak Bendahara Paduka Raja yang berani untuk menegakkan keadilan. Bayangkan pada abad ke 16 seorang memanda menteri sanggup untuk tidak melaksanakan perintah Sultan Melaka, dan pada masa yang sama yakin kedaulatan undang-undang tidak boleh diceroboh, kerana ianya hanya membawa kehancuran kepada negara.

Bukannya derhaka kepada sultan yang terpancar dari kisah tersebut, bukan perderhakaan Jebat yang harus kita war warkan. Bahkan karya tersebut menjadi wahana bagi membentuk pemikiran politik moden, bahawa pemerintah sesungguhnya mempunyai garis sempadan. Pemerintahan serta kekuasaan mutlak hanya mencetus ketidakadilan.

Wajar menjadi satu peringatan dalam Dewan Yang Mulia ini, sesebuah negara yang tidak mampu mencetuskan perubahan, pastinya tidak mampu untuk terus gemilang apatah lagi menjaga adat serta tradisi.

Maka apabila MB Perak yang sah, YAB Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memilih untuk terus kekal sebagai MB Perak, beliau hanya menuruti semangat dan peruntukan Perlembagaan yang tersedia. Semangat Bendahara Paduka Raja terserlah pada sikap YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar.

Baik sekali menurut pandangan saya dan demi kemuliaan Dewan Yang Mulia ini untuk menukilkan apa yang ditulis oleh KDYMM Sultan Perak dalam karya baginda yang berjudul Constitutional Monarchy, Rule Of law and Good Governance:

“Under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di-Pertuan Agong would not withhold his consent to a request for dissolution of parliament. His role is purely formal.”

PENCABULAN DEMOKRASI

1. Pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang lalu telah memberi kejutan besar kepada UMNO dan BN berikutan kemenangan 82 kerusi parlimen pembangkang dan kegagalan BN berkuasa di lima buah negeri. Hasil keputusan pilihanraya tersebut, Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk membentuk kerajaan di negeri-negeri Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

2. Namun, dari awal lagi, rentetan peristiwa menunjukkan BN tidak bersedia menerima kehilangan kuasa dengan semangat demokrasi khasnya di Perak, Kedah dan Selangor. Percubaan demi percubaan dilakukan untuk menggagalkan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri melalui perlakuan jenayah seperti penculikan, ugutan dan rasuah. Ini berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat. Kita menganjurkan pertukaran kerajaan melalui sokongan terbuka terhadap agenda reformasi dalam menghadapi kemelut kepimpinan politik yang bergelumang dengan rasuah, menangani krisis ekonomi yang kian parah, menangani krisis sosial dan jenayah yang membimbangkan rakyat. Bukannya dengan cara menculik, mengugut dan merasuah!

PERAK DARUL RIDZUAN

3. Percubaan awal dilakukan sejurus selepas selesainya pilihanraya. Saya mempunyai bukti pengakuan bersumpah mengenai penglibatan langsung Timbalan Perdana Menteri sendiri dalam percubaan untuk menggagalkan pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

4. Dalam Surat Akuan bersumpah oleh Fauzi Muda [Ketua Bahagian PKR Ipoh Barat], beliau mengaku bahawa pada 11 Mac 2008, beliau telah dibawa bertemu untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri di kediaman resminya di Putrajaya. Beliau mendedahkan, “Dalam perbincangan tersebut, Dato’ Seri Najib telah merayu kepada saya agar dapat membantu bagi memujuk sekurang-kurangnya dua orang ADUN Negeri Perak dari PKR agar lompat kepada UMNO atau menjadi sebagai wakil Bebas. Beliau sanggup menawarkan kepada saya sebanyak RM 50 juta bagi tujuan tersebut dan terpulang kepada saya berapa jumlah yang saya hendak bayar kepada mana-mana ADUN PR yang mahu lompat.”

5. Namun demikian, percubaan tersebut gagal untuk menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Nizar berupaya mentadbir negeri sekalipun terpaksa menghadapi diskriminasi dan tekanan BN yang memperalatkan pelbagai agensi di bawah kementerian-kementerian Kerajaan Persekutuan.

6. Setelah percubaan awal BN gagal, ianya disusuli dengan tindakan mendakwa dua exco Perak atas tuduhan rasuah pada 25 Ogos 2008 dengan tujuan menjerumuskan kerajaan Pakatan Rakyat Perak dalam kancah krisis. Percubaan ini juga gagal apabila dua exco tersebut mengemukakan pembelaan di mahkamah dan memfailkan saman terhadap Badan Pencegah Rasuah.

7. Dalam akuan bersumpah Fauzi Muda, beliau mendedahkan lagi, “Usaha mereka memujuk saya bagi tujuan tersebut semakin kerap semenjak kes dua Exco PKR yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Mereka mensasarkan kedua-dua Exco tersebut agar dapat dipujuk dan kali terakhir ialah sebelum hari Tahun Baru Cina dimana mereka telah berjumpa saya dan menawarkan jika kedua-dua Exco tersebut bersetuju untuk melompat dari PKR, Dato’ Seri Najib bersedia membayar sebanyak RM 5 juta bagi setiap orang termasuk habuan untuk saya RM 5 juta.”

8. Percubaan menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memuncak sejurus Timbalan Perdana Menteri mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri Perak berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Mohd Tajul Rosli selepas ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar UMNO dan dengan rela hati menyertai PKR pada 25 Januari 2008.

9. Secara mendadak, Negeri Perak dikejutkan pula dengan kehilangan dua exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang. Begitu juga dengan kehilangan ADUN Jelapang dan ADUN Bota sehinggalah mereka muncul dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri pada 4 Februari 2009. Dalam sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengumumkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak pimpinan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang dengan dakwaan BN kini mempunyai majoriti. Kesemua sandiwara ini berlaku dengan latarbelakang insiden ADUN-ADUN diculik, disembunyikan, diugut atau dirasuah.

KEDAH DARUL AMAN

1. Saya mempunyai bukti dan keterangan bahawa seawal April 2008, percubaan dilakukan oleh ejen-ejen BN untuk merasuah atau mengugut ADUN-ADUN PR khasnya lima ADUN dari PKR dengan tujuan menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

2. Saya mendapat laporan bahawa pada 11 April 2008 ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee dari PKR, telah dihubungi untuk oleh seorang ejen BN yang mewakili Datuk Seri Mahazir Khalid (Pengerusi BN Kedah dan bekas MB) untuk memujuk supaya YB Lim lompat parti daripada PKR ke BN dengan tawaran RM 4 juta. Tawaran itu kemudiannya dinaikkan kepada RM 5 juta. Perjumpaan juga boleh diatur untuk menemukan YB Lim dengan Datuk Seri Mahazir Khalid dan Timbalan Perdana Menteri. ADUN Kulim ini diganggu dengan tawaran dan pujukan melompat parti sepanjang bulan April, Mei, Jun dan Julai 2008.

3. Apa yang mengejutkan saya, ADUN Lunas YB Lim telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah berhubung hal percubaan ejen-ejen BN untuk membeli beliau. BPR bersetuju mengatur strategi dan menjadikan YB Lim sebagai “umpan”. Pertemuan demi pertemuan diatur oleh ejen-ejen BN dengan YB Lim dan kesemuanya ada dalam makluman dan pemantauan BPR.

4. Kemuncak pemantauan ini ialah pertemuan di antara bekas MB Kedah dengan YB Lim di sebuah botel di Seberang Jaya pada akhir 2008. Pertemuan ini dirakam melalui CCTV yang diatur dengan pengetahuan BPR. Tiada tindakan susulan diambil, sebaliknya saya difahamkan pegawai BPR yang bertanggungjawab dalam operasi ini kemudiannya ditukar.

5. Dalam kes bekas Exco Kedah Arumugam A/L Vengatarakoo yang meletak jawatan baru-baru ini, saya telah diberitahu pelbagai ancaman dan ugutan telah dilakukan terhadap beliau. Tiga repot polis telah dibuat mengenai ancaman tersebut.

6. Pada 1 April 2008, pembantu khas kepada Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/005907/08] bahawa beliau menerima panggilan telefon yang mengancam beliau dan Arumugam supaya jangan terlalu aktif dalam politik dan sekiranya ingkar akan berlaku perkara yang tidak baik seperti mendiang Joe Fernandez [ADUN Lunas yang mati ditembak beberapa tahun lalu].

7. Pada 18 Oktober 2008, YB Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/020426/08] bahawa beliau bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya apabila didatangi oleh dua lelaki yang mempunyai niat serong terhadap Arumugam.

8. Pada 17 Disember 2008, YB Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG PETANI/025421/08] bahawa cermin belakang kereta rasmi Exco Kerajaan yang dipakainya telah dipecahkan oleh orang yang tidak dikenali.

SALAHLAKU SPR

1. Saya amat sangsi dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung dengan keengganannya menjalankan pilihanraya kecil bagi DUN Changkat Jering dan Behrang.

2. Pada 1hb Febuari 2009 Speaker DUN Perak telah mengeluarkan surat perletakan jawatan ADUN Changkat Jering dan Behrang yang ditandatangani oleh kedua-dua ADUN. Pada 2 Februari 2009 Speaker DUN telah mengemukakan surat pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi Changkat Jering dan Behrang kepada SPR.

3. Pada 3hb Februari 2009 SPR umumkan bahawa kerusi Changkat Jering dan Behrang tidak dikosongkan. Keputusan mengejut SPR ini ternyata membelakangkan notis kekosongan yang dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak. Alasan SPR bahawa ia mempunyai kuasa di bawah Seksyen 12(3) Akta Pilihanraya 1958 untuk menentukan keabsahan kekosongan kerusi tersebut setelah menerima notis kekosongan dari Speaker DUN Perak amat memeranjatkan, tidak munasabah dan tidak pernah berlaku sebelum ini (unprecedented).

4. Saya mempersoalkan keputusan SPR ini atas dua alasan. Pertamanya sebagai sebuah badan yang dibentuk menurut Perlembagaan, SPR harus berfungsi dan bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, fungsi SPR disebutkan dengan jelas, iaitu menjalankan pilihanraya, menyediakan daftar pemilih dan menjalan ulangkaji pensempadanan bahagian pilihanraya.

5. Yang kedua, tugas sebenar SPR apabila menerima surat kekosongan kerusi dari Speaker Dewan hanyalah untuk menetapkan tarikh kekosongan kerusi itu berlaku bagi tujuan mengeluarkan writ pilihanraya. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 12(3) Akta Pilihanraya 1958, iaitu “Berkenaan dengan sesuatu kekosongan yang akan dipenuhi dengan sesuatu pilihanraya kecil, writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada sepuluh hari dan tidak lewat daripada tiga puluh hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh Suruhanjaya Pilihan Raya”. Pendirian yang sama turut dinyatakan secara terbuka oleh bekas Pengerusi SPR Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman ketika diwawancara oleh media tempatan.

No comments: