Thursday, October 29, 2009

Laporan Seminar SIS - Pembela atau Perosak Wanita

Petaling Jaya 25 Okt – Menyedari terjadinya banyak penghinaan ke atas hukum-hukum Allah SWT di era moden kini, terutama oleh gerakan-gerakan sekular yang bertopengkan agama, Ikatan Intelektual Nusantara dengan kerja sama Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (HTM-KL) dan Muslimat Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) berjaya mengadakan satu seminar dengan tajuk yang hangat iaitu “Sisters In Islam (SIS) – Pembela Atau Perosak Wanita” di Dewan Serbaguna, Petaling Jaya, Selangor DE.

Tajuk ini dipilih ekoran daripada sikap biadap SIS yang mencabar hukum Allah SWT, berkenaan hukum sebatan ‘syariah’ ke atas seorang individu yang bernama Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, seorang model dari Sungai Siput, Perak yang dituduh meminum arak pada 11 Julai 2008, di hotel Legend, Cherating, Pahang. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari surah An-Nisa’ bersama terjemahannya oleh Tuan Imam Darulqatni. Sesuai dengan tajuk seminar pada kali ini, pihak penganjur ingin mendedahkan kepada masyarakat tentang kesesatan idea-idea yang dibawa oleh SIS, yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan penafsiran yang songsang (salah), termasuklah hujah-hujah (logik) akal yang lemah, sekali gus bertolak belakang dengan dalil-dalil syariat. Seminar kali ini menghadirkan dua orang penceramah dari HTM dan seorang wakil dari MHTM.


Pada sesi pertama, Prof. Dr. Mohammad Syarifudin menyampaikan ceramahnya yang bertajuk, “Kupasan Isu Kartika Sari”. Beliau menjelaskan kronologi berkenaan kes Kartika Sari, bermula dengan pengakuan bersalah Kartika Sari yang rela untuk disebat dan telah membayar denda sebanyak RM5000, sehinggalah muncul polemik berkenaan pelaksanaan hukuman 6 sebatan ke atasnya. Apa yang pasti, sehingga kini hukuman 6 sebatan ke atas Kartika Sari belum lagi dilaksanakan, ekoran dari berbagai-bagai alasan dan kecaman dari pihak yang kononnya memperjuangkan Hak Asasi Wanita dengan alasan kejam yang akan mendatangkan pandangan yang buruk oleh agama lain ke atas agama Islam.

Penceramah juga menjelaskan dengan rinci berkenaan hukum minum arak (iaitu haram) dan hukuman bagi pelakunya yang dikategorikan dalam kes hudud, iaitu disebat sebanyak 40 atau 80 kali, dan bukan dengan jumlah yang lain (baca selanjutnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/1552-sn188-celakalah-siapa-yang-menolak-hudud-allah). Prof. Dr Mohammad Syarifudin menyatakan, umat Islam seharusnya sedar bahawasanya permasalahan ini terjadi, adalah natijah diterapkannya sistem sekular yang membelakangkan hukum Allah SWT termasuklah hukum hudud yang wajib diterapkan oleh negara sebagai qiyan tanfizi (badan pelaksana). Dengan mendominasinya pemikiran sekular ini di dalam benak umat, maka lahirlah pelbagai dogma dan pemikiran sesat seperti aliran liberalisme dan feminisme yang turut diperjuangkan oleh SIS.

Pembentangan kedua disampaikan oleh Ustaz Abu Taqiuddin Mustafa, yang merupakan Naqib Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Kuala Lumpur, dengan tajuk “Tafsiran Songsang SIS”. Beliau menceritakan bagaimana barat cuba menyerang umat Islam dari 3 sudut iaitu, freedom, equality, dan justice. Di sisi lain juga, barat cuba melemahkan kekuatan umat islam dengan membahagi-bahagikan mereka dengan 4 golongan iaitu, Traditionalist, Fundamentalist, Modernist dan Secularist kajian dari RAND Institute, dalam buku terbitan mereka, iaitu Civil Democratic Islam. Seterusnya Ustaz Abu Taqiuddin Mustafa menjelaskan 4 isu yang sering dipergunakan oleh SIS, untuk mempertikaikan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam syariat Islam. Keempat-empat isu tersebut ialah berkenaan isu poligami, marital rape, pewarisan dan isu berkenaan Kartika Sari. Kesemua isu tersebut telah dikupas dengan rinci dan tuntas oleh Ustaz Taqiuddun dengan berpandukan tafsiran sebenar yang dimaksudkan oleh dalil-dalil tersebut termasuklah hujah-hujah akal mereka berkenaan masalah pewarisan dan marital rape. Dalam isu Kartika misalnya, ia sebenarnya bukanlah isu gender, tetapi telah ‘digenderkan’ oleh JAG dan SIS itu sendiri. Isu ini sebenarnya adalah berkenaan hukum syariah yang wajib diterapkan ke atas lelaki dan wanita oleh negara. Pada hakikatnya, SIS sebenarnya bukanlah memperjuangkan Islam, tetapi cuba untuk memesongkan Islam itu sendiri dengan pemikiran sekular. Ustaz Abu Taqiuddin menegaskan bahawasanya semua masalah ini akan dapat diselesaikan jika Sistem Khilafah Islam ditegakkan di muka bumi.

Sesi pembentangan berhenti rehat seketika pada jam 11.30 pagi untuk menikmati juadah yang disediakan sambil menonton tayangan video. Setelah itu, majlis diteruskan dengan sesi pembentangan ketiga, yang disampaikan oleh wakil MHTM, iaitu Ustazah Hajjah Ummu Kalsom dengan tajuknya “Peranan Wanita Dalam Masyarakat”. Pada pembentangan kali ini, penceramah membahaskan secara khusus bagaimana Islam sebagai Deen mengatur tentang masalah lelaki dan wanita dalam kehidupan. Islam tidak pernah membeza-bezakan antara lelaki dan wanita dalam aspek pelaksanaan hukum. Ada hukum syarak yang diturunkan wajib untuk diamalkan oleh lelaki dan wanita seperti kewajipan berdakwah, boleh bertransaksi jual-beli, menuntut ilmu dan lain sebagainya. Di sisi lain, ada kewajipan yang hanya ditaklifkan untuk wanita sahaja seperti kewajipan memakai khimar (kerudung) , jilbab (jubah) dan larangan untuk bertabarruj. Di akhir sesi pembentangan, Ustazah Hajjah Ummu menjelaskan, bahawasanya sejarah telah membuktikan hanya Sistem Islam sahaja yang mampu memajukan dan memuliakan wanita. Sistem sekular yang diterapkan pada saat ini, telah terbukti gagal mengangkat derajat dan martabat kaum wanita, bahkan telah menjerumuskan wanita kepada kemunduran dan kehinaan.

Setelah selesai ketiga-tiga pembentangan, para peserta diberi peluang untuk bertanyakan soalan kepada para pembentang berkenaan isu yang diperbincangkan. Alhamdulillah, respon para hadirin termasuklah yang bertanyakan soalan amat positif dan bersetuju bahawasanya gerakan Sisters In Islam dan yang seangkatan dengannya amat berbahaya kepada umat Islam, kerana pemikiran yang dibawa oleh mereka tidak selari dengan hukum syariat Islam yang sebenar, dan boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini, termasuklah pihak yang menjaga keamanan sepanjang majlis dijalankan. Majlis ini juga telah berjaya menarik hampir 350 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai individu dan NGO, termasuklah dari kalangan MPMUM, Pewaris dan SIS. Majlis ditutup dengan bacaan doa, yang berakhir pada jam 2 petang.

No comments: