Tuesday, October 14, 2008

MP PKR Kulim-Bandar Baharu nafi ditawar masuk Umno


KUALA LUMPUR:Sehari selepas disahkan bebas daripada cabaran perundangan, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menafikan beliau ada ditawarkan supaya menyertai Umno.

Sebaliknya tegas wakil rakyat itu beliau masih bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini, Zulkifli juga menegaskan beliau akan bersama dengan parti yang memperjuangkan Islam.

Ekoran keputusan mahkamah semalam banyak pihak membuat andaian bahawa beliau akan menyertai Umno.

Malah komen pengunjung blognya juga menyentuh kemungkinan tersebut.

Menurut beliau, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan parti itu masih memperjuangkan Islam.

Zulkifli juga berkata, beliau telah mengadap Jawatankuasa Displin PKR dan belum ada sebarang tindakan dikenakan ke atasnya.

Sebelum ini beliau menjadi perhatian selepas mengambil bahagian dalam demonstrasi membantah Majlis Peguam mengadakan forum mengenai Islam di ibu negara dua bulan yang lalu.

Semalam, Zulkifli berjaya mengekalkan kerusi Kulim-Bandar Baharu apabila Mahkamah Tinggi Alor Star menolak petisyen tersebut selepas Barisan Nasional (BN) memohon untuk menarik balik petisyen berkenaan.

Pada 27 April lepas, bekas calon BN bagi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Mohd Hafarizam Harun memfailkan petisyen memohon keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

No comments: