Friday, September 5, 2008

Sasaran 16 Sept.: Najib nafi anggota BN-BBC cuti luar negara berkait pelan Pakatan


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi menafikan lawatan ke luar untuk anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) minggu depan bukan bertujuan 'menghalang' Pakatan Rakyat daripada mencapai sasaran tubuh kerajaan 16 September.

Sebaliknya Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, ia merupakan lawatan sambil belajar bagi anggota kelab berkenaan dan akan diluluskan oleh beliau.

"Saya akan luluskan lawatan itu selagi ia konstruktif," kata beliau selepas melancarkan Rakan Cop PLKN di sini hari ini.

Najib, Menteri Pertahanan memberitahu, lawatan tersebut merupakan peluang terbaik untuk anggota-anggota BN-BBC menerokai aspek-aspek yang baru.

"Destinasi lawatan tersebut belum ditetapkan tetapi terpulang kepada anggota BN-BBC untuk menentukannya," kata beliau lagi.

Jelasnya program itu merupakan lawatan sambil belajar yang dicadangkan oleh BN-BBC dan mereka berhak mencadangkan program yang bersesuaian.

Ketika ditanya mengapa lawatan tersebut dibuat secara tergesa-gesa Najib berkata:

“Mereka boleh adakan program bila-bila masa selagi ia konstruktif.”

Beliau turut ditanya sama ada mana-mana ahli BN-BBC yang enggan mengikuti lawatan tersebut akan tindakan disiplin, Najib menjelaskan lawatan tersebut merupakan program BN-BBC.

Sehubungan itu, tambah beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Pakatan dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh mengatakan apa sahaja mengenai pelan membentuk kerajaan, tetapi yang sebaliknya akan berlaku.

Di sebalik pendirian sedemikian wujud desas-desus ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mula 'bercuti' di luar negara mulai Isnin ini sehingga minggu ketiga September - tempoh yang dianggap sebagai kritikal menjelang pembentukan kerajaan baru.

Ahli-ahli Parlimen terbabit khususnya anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) telah diminta menyerahkan pasport mereka untuk urusan rasmi susulan.

Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN-BBC menafikan cuti itu - yang dikenali sebgaai lawatan sambil belajar ke luar negara - ada kaitan dengan sasaran Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini.

Ketika ditanya sama ada Anwar boleh menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini, Najib berkata: "Tiada komen."


BERITA TERDAHULU:

Sasaran 16 Sept.: Pakatan dakwa kejutan hampiri, anggota BN-BBC cuti luar negara?

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Ketika ramai mula mempersoalkan sama ada sasaran 16 September Pakatan Rakyat akan menjadi kenyataan ataupun tinggal omong-omong kosong, perikatan pembangkang itu menegaskan, pelan mereka masih utuh dan akan menjadi kenyataan "dalam waktu ini."

Pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi mStar Online dengan yakin berkata, segala proses dan urusan penting yang berkaitan berjalan dengan lancar dan hampir selesai sementara beberapa aspek teknikal dan perundangan sedang diperhalusi.

Di sebalik pendirian sedemikian wujud desas-desus ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mula 'bercuti' di luar negara mulai Isnin ini sehingga minggu ketiga September - tempoh yang dianggap sebagai kritikal menjelang pembentukan kerajaan baru.

Ahli-ahli Parlimen terbabit khususnya anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) telah diminta menyerahkan pasport mereka untuk urusan rasmi susulan.

Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN-BBC menafikan cuti itu - yang dikenali sebgaai lawatan sambil belajar ke luar negara - ada kaitan dengan sasaran Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini.

"Lawatan ini diadakan ekoran cadangan daripada beberapa anggota kami (BN-BBC). Kami mahu anggota kami diberikan pengetahuan terkini mengenai maklumat teknologi tinggi pengeluaran makanan dan pertanian... jadi kami boleh membahaskan Bajet (2009) dengan baik di Parlimen apabila bersidang kelak (selepas Aidilfitri)," kata Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Jelas beliau, tempoh dua minggu ini merupakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian walaupun bulan Ramadan telah bermula.

"Selepas Aidilfitri, Parlimen akan mula bersidang," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN-BBC, Datuk Bung Mokhtar Radin ketika dihubungi berkata, memang ada satu lawatan sambil belajar diaturkan untuk anggota kelab tersebut luar negara berkemungkinan hujung minggu ini..

"Memang ada lawatan ke luar negara bertujuan untuk meneroka teknologi pertanian dan perindustrian bagi mana-mana Ahli Parlimen dari BN-BBC yang berminat.

"Mungkin lawatan itu akan diadakan hujung minggu ini. Berapa ramai ahli Parlimen yang akan ikut belum diputuskan lagi," kata wakil rakyat Kinabatangan itu kepada mStar Online hari ini.

Ketika ditanya ke mana destinasi dan jangka masa lawatan tersebut, Bung Mokhtar berkata, perkara tersebut juga belum diputuskan.

"Belum diputuskan tapi selalunya kalau lawatan sambil belajar mungkin lamalah sikit," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau ditawarkan untuk pergi bercuti pada 8 September ini.

"Mana ada saya tak dapat apa-apa tawaran pun untuk pergi bercuti," katanya apabila dihubungi.

Malah, beliau juga menafikan beliau ditawarkan untuk melompat parti.

"Mana ada perkara itu tidak benar.Saya tak pernah ditawarkan untuk melompat parti," katanya.

Ketika ditanya di mana beliau akan berada pada 8 September ini dan seterusnya, Tajuddin berkata: "Tidak ke mana-mana. Saya sibuk mesyuarat bahagian di Perak."

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir juga mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui tentang lawatan tersebut.

"Saya tidak tahu, saya tidak diberitahu. Kalau ada pun saya tidak akan pergi kerana ada banyak urusan perlu diselesaikan di sini," kata Exco Pemuda Umno itu yang akan mengumumkan pendirian rasmi merebut kerusi Ketua Pemuda Sabtu (esok).

Dalam pada itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin memberitahu, sehingga kini "semua perancangan berjalan dengan lancar."

"Hanya tinggal beberapa aspek seperti soal teknikal dan perundangan yang perlu diselesaikan.

"Pelan sasaran 16 September kekal sebagaimana telah diumumkan (oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim). Dalam waktu terdekat, sasaran ini akan dicapai," katanya.

Difahamkan tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) - kesemuanya dari Sabah dan Sarawak - telah menyatakan persetujuan untuk menyertai sebagai komponen Pakatan Rakyat manakala hampir 30 wakil rakyat BN pula akan menganggotai parti-parti komponen secara individu dengan sebahagian besar dalam PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai waktu terdekat yang dimaksudkan, beliau berkata, ia akan dicapai dalam beberapa hari lagi.

Beliau tidak menolak desas-desus bahawa ada Ahli Parlimen yang ingin mengumumkan hasrat mereka sertai Pakatan Rakyat esok.

Bagaimanapun pucuk kepimpinan mahu pengumuman dibuat serentak, kemungkinan minggu depan.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR telah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan persekutuan baru akan dibentuk menjelang 16 September ini.

"Banyak pertemuan telah diadakan setakat ini... pertemuan-pertemuan ini juga dikendalikan oleh komponen Pakatan Rakyat yang lain, bukan PKR sahaja," katanya.

mStar Online juga difahamkan ahli-ahli Parlimen yang menyatakan keinginan itu termasuklah mereka yang berada dalam Kabinet.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan tetapi enggan mengulas spekulasi Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat.

"PKR Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya kepada mStar Online.

Beliau menyatakan demikian sehari selepas Anwar dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara.

Malah pada Khamis lalu, seramai enam wakil rakyat dari Sarawak sudah menemui Anwar iaitu pada petang selepa bekas Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Menurut beliau, sehingga hari ini hampir 30 orang Ahli Parlimen BN dari Sarawak dan Sabah telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Keseluruhan dari kedua-dua negeri ialah hampir 30 orang. Dari Sarawak saja kita ada lebih 10 orang yang akan lompat menyertai kita membentuk kerajaan baru pada 16 September nanti," kata beliau. -mstar

No comments: