Friday, September 5, 2008

Keranda politik - Kain 'kapan' buat parti

Bersedialah Umno untuk ditalqinkan. Yang akan mengkafankan dan mentalqinkan Umno, ialah ahli Umno sendiri.
Majlis Tertinggi (MT) UMNO digesa melakukan ’sesuatu yang drastik’ bagi membendung kejutan-kejutan di luar budaya parti itu yang semakin membimbangkan dan dikhuatiri petanda ‘keranapan’ parti pejuang kemerdekaan negara itu.

Ahli MT, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau terpanggil mengeluarkan gesaan itu kerana ahli UMNO kini tidak lagi menampilkan sifat budaya keMelayuan apabila banyak peristiwa tidak diingini berlaku semasa dan menjelang pemilihan tertinggi parti.

Antara yang cukup membimbangkan, kata beliau, ialah penggunaan wang yang berleluasa dan keterlaluan untuk melobi pencalonan, rasuah melibatkan tangkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pergaduhan besar sesama ahli hanya kerana mengejar jawatan. Inilah parti yang pernah beliau bakar jambatan ketika bergaduh team A dan team B pada tahun 1987. Beliau bersama team B yang diketuai oleh Tengku Razali Hamzah sehingga tertubuhnya parti 46. Kemudian dia naik rakit batang pisang masuk ke dalam Umno. Sekarang beliau merungut lagi. Bagi saya tidak hairanlah apa yang berlaku dalam Umno. Umno bukan parti yang ada asas agama.

Malahan asas cinta untuk berjuang bangsa pun sudah tidak ada. Berjuang dalam Umno hanya untuk dapat benda denga kuasa. Mereka tahu dengan menjawat jawatan dalam Umno akan dapat laba yang menguntungkan. Jadi ketua cawangan semua projek dalam kampung pasti dalam tangan. Jadi ketua bahagian setiap tahun projek tidak kurang sejuta dalam tangan. Kalau itu yang bertakhta dihati mereka yang merebut jawatan apa sahaja mereka akan lakukan demi harta.

Dalam Umno sejarah bunuh sudah ada seperti Dato’ Taha di Gemencih Negeri Sembilan. Baru-baru ini di Segamat ahli Umno bergaduh hingga patah kerusi. Terbaru di Kota Bharu , Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di pekarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.

Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Noor Awang, 47, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merasuah Ketua Cawangan UMNO Taman Zaiton Indah, Sikamat Rezwat Shahril Zainal Ariffin supaya mencalonkannya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Semalam juga menyaksikan kejadian pembunuhan Timbalan Ketua UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61, yang mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah.

Sekarang baru mesyuarat cawangan. Apa akan terjadi pula dalam mesyuarat bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi Umno. Tentu semakin dahsyat.

Mereka bergaduh bukan kerana hendak membela agama atau bangsa. Mereka bukan bergaduh kerana hendak membela rakyat yang dihimpit dengan kenaikan harga barang keperluan. Mereka bukan bergaduh kerana hendak mempertahankan tanah di kawasan Melayu yang hampir pupus.

Mereka bukan bergaduh kerana hendak menyuarakan mengenai gejala social yang melanda anak Melayu kerana Umno membiarkan keadaan ini berlaku. Mereka bergaduh bukan kerana hendak membela bahasa Kebangsaan yang telah terpinggir dalam pendidikan kebangsaan. Bersedialah Umno untuk ditalqinkan. Yang akan mengkafankan dan mentalqinkan Umno, ialah ahli Umno sendiri. -oleh people army Proreformasi

No comments: