Thursday, August 28, 2008

SANTAU BN MAKAN DIRI

Ketika artikel ini dicerna, umum memahami bahawa Pak Lah sedang pening kepala. Kekalahan yang ini benar-benar memalukan. Segala ikhtiar dan kejutan telah dilakukan. Umum sedia mengetahui. Bohong jika kekalahan di Permatang Pauh ini tidak menjadi kudis buat Pak Lah dan BN. Mustahil ! Malah riak wajahnya tidak kelihatan langsung di kaca tv malam tadi, yakinlah bahawa kekalahan ini telah menghilangkan keseronokan beliau sejak kelmarin. Untuk menyalahkan Timbalannya, atau menantunya, itu bukan penyelesaian yang bijak. Siapalah Pak Lah untuk menyalahkan mereka, di saat populariti beliau yang kian merudum, jalan terbaik - membatukan diri. BN telah kalah. Hakikatnya perlu diterima biarpun payah.

Kemenangan Anwar ini bukan 'kebetulan' mahupun 'kejutan'. Tiada siapa yang akan mati terkejut dengan 'hak' kemenangan Anwar. Umum telah mengetahui lebih daripada kami. Tetapi kemenangan ini digerakkan oleh kebangkitan 'rakyat' yang tidak disangka-sangka. Terlalu banyak 'isu' kebangkitan rakyat jika mahu dituliskan di sini. Kebangkitan yang tidak dialu-alukan oleh Umno-BN. Tetapi bagi rakyat - kebangkitan & kemenangan ini yang ditunggu-tunggu sejak berlalunya PRU12 dan era reformasi dahulu.

Jika 8 tahun yang lalu, KeADILan banyak bergantung harap dan menumpang simpati kepada PAS. Malah, terdapat anggota PAS yang diturunkan untuk mengetuai jentera Keadilan. Isu-isu yang ditimbulkan juga merupakan isu-isu tumpangan di mana PAS juga telah mendahuluinya. Tatkala itu KeADILan dilihat seperti Semangat 46 yang masih diliputi bau kemelayuan.

Namun ketika ini Parti KeADILan benar-benar menunjukkan belang dan taringnya. Selepas kemenangan besar dalam PRU12 yang lalu, Parti KeADILan Rakyat telah mula membuktikan kepada rakyat betapa parti ini bukanlah sebuah lagi parti melayu. Parti ini bukanlah seperti Semangat 46 yang hanya menumpang jentera PAS untuk melompat lebih tinggi, sebaliknya pada satu tahap, parti ini telah berjaya menggerunkan pemerintah.

Nama-nama seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Nathaniel Tan, Tian Chua dan ramai lagi pimpinan mudanya telah banyak mendatangkan masalah kepada BN. Ini belum dicampur dengan penyusunan gerak kerja di Sabah yang menyaksikan angin perubahan sudah mula bertiup di negeri di bawah bayu itu. Janganlah terlalu ringan mempersoal akan kebenaran akan ada wakil dari negeri tersebut akan melompat berpihak kepada kem Pakatan. "Angin bertiup kencang, masakan pokok tidak bergoyang dan debu tidak berterbangan ".

Bolehkah khalayak bersetuju jika dikatakan bahawa keADILan sekarang ini adalah pengganti kepada Parti Gerakan yang satu masa dahulu turut mempunyai konsep yang sama, yakni konsep perpaduan di antara kaum. Malangnya Gerakan kini dilihat sebagai sebuah parti kaum Cina. Di atas landasan yang lebih bersifat 'terbuka' dan menjauhkan polemik politik perkauman rakyat telah melihat penerimaan yang sangat dominan dari semua kaum untuk bernaung di bawah KeADILan.

Kini, P044 mengukuhkan lagi dakwaan itu. BN kehilangan sebahagian pengundinya sendiri. Jangan di bina soalan siapa yang salah ketika kekalahan ini berlaku. BN sudah punya jawapannya malah sejak 50 tahun yang lalu. Biarpun provokasi BN gagal sebaik sahaja isu 'sumpah liwat' yang dilepaskan nampak lebih serius berbanding isu menterbalikkan bendera Crescent Moon, Stars & Stripes. Tidak banyak membantu. Malahan provokasi itu diibaratkan sebagai 'senjata makan tuan'atau mungkin jua 'santau memakan tuan'.

Demikianlah nasib Pak Lah dan UMNO-BN. Mereka semakin blur untuk menentukan 'alternatif' terbaik untuk rakyat kini. Soal ini juga dibangkitkan oleh Tun Mahathir di tv3 malam tadi. Setiap kali mereka melaungkan 'ketuanan melayu' , setiap kali itulah masalah datang bertimpa-timpa. Setiap kali juga mereka merancang 'pelan pemulihan' di dalam Umno maka setiap kali itulah juga secara tiba-tiba muncul isu bergantang-gantang yang bisa membenamkan keperkasaan BN.

Lawan Tetap Lawan!

people army

No comments: