Tuesday, November 3, 2009

SPR perlu diletakkan dibawah Parlimen

oleh Amin Iskandar
NOV 2 — Sebuah badan penggendali pilihanraya seperti Suruhanjaya Pilhanraya (SPR) bukan sahaja perlu bebas dari campurtangan mana-mana parti politik atau pemerintah, tetapi perlu juga dilihat bebas dari pengaruh mana-mana pihak.

Itulah yang tidak berlaku di Malaysia. SPR tidak dilihat bebas dari pengaruh kerajaan oleh kerana ianya berada dibawah kekuasaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya bertanggungjawab kepada parlimen Malaysia.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang pada satu ketika dahulu berada dibawah kuasa JPM kini telah dibebaskan dan berada dibawah parlimen. Apakah mustahil untuk meletakkan SPR berada dibawah parlimen supaya ianya turut dilihat bebas?

Satu ketika dahulu, kita dapat melihat bagaimana bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika memimpin SPR dikecam hebat oleh parti-parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) oleh kerana dikatakan memihak kepada parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional (BN).

Kemarahan kepada Rashid dan SPR berada ditahap kemuncak sehinggalah satu demonstrasi raksaksa dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebuah gabungan yang terdiri dari parti politik pembangkang dan NGO pada 11 November 2007.

Lebih daripada 50,000 rakyat membanjiri ibukota berarak ke Istana Negara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong untuk campurtangan bagi memastikan pilihanraya ke 12 bersih dan adil.

Ombak kebangkitan rakyat ini dengan mudah dapat mematahkan sekatan-sekatan ketat yang dilakukan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Pada ketika itu, PDRM menutup kesemua pintu masuk ke Kuala Lumpur dengan sekatan-sekatan jalanraya.

“Paranoia” PDRM untuk menghalang demonstrasi raksaksa yang bertemakan warna “kuning” itu telah menyebabkan ada kenderaan sekeluarga pengantin yang memakai warna kuning turut ditahan dan terpaksa membuktikan bahawa pada perkahwinan akan berlaku pada hari tersebut sebelum dilepaskan.

Terdapat empat tuntutan Bersih dalam kempen tersebut:

Bersihkan daftar pengundi.

Penggunaan dakwat kekal.

Media memberikan laporan yang adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya.

Mansuhkan undi pos.

Kesemua tuntutan Bersih tidak dilayan oleh SPR dan kerajaan Malaysia termasuk oleh pihak Istana Negara sehingga hari ini.

Malahan empat hari sebelum PRU 12, SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal diatas faktor keselamatan.

Maka berjuta ringgit duit pembayar cukai untuk membeli dakwat kekal terbazir begitu sahaja dan sehingga kini, rakyat Malaysia masih belum tahu apa yang terjadi kepada dakwat kekal yang dibeli sebelum PRU 12 itu.

Apakah berbotol-botol stok dakwat kekal itu sudah kering? Apakah ianya telah mencapai tarikh luput? Hanya SPR dan kerajaan Malaysia yang tahu.

Selepas berjaya menafikan kuasa dua pertiga BN didalam Parlimen, berjaya merampas beberapa buah negeri dan menang dalam banyak PRK, “suara-suara” untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil semakin kurang kedengaran.

Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) di Dewan Rakyat juga masih belum “garang” untuk memperjuangkan SPR dibebaskan dari pengaruh JPM sedangkan inilah perkara yang paling asas perlu diperjuangkan jika mahu perjalanan pilihanraya di Malaysia lebih baik pada masa akan datang.

Selagi SPR masih belum bebas dari pengaruh JPM, agak sukar untuk memastikan badan yang menggendalikan pilihanraya ini benar-benar menjalankan tugas mereka dengan telus dan independen.

Mari kita lihat satu contoh. Selepas bersara sebagai pengerusi SPR, Rashid yang begitu dibenci oleh pakatan pembangkang kembali menjadi seorang yang rasional dan bercakap sebagai seorang yang bebas.

Sebaik sahaja speaker Perak, V. Sivakumar menghantar notis pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering, bekas pengerusi SPR itu mengatakan bahawa SPR tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi tersebut.

Menurut Rashid, selepas SPR Negeri Perak menerima surat perletakkan jawatan ADUN Behrang dan Changkat Jering dari Speaker DUN Perak, SPR tidak mempunyai pilihan selain memanggil pilihanraya kecil di kedua-dua kerusi DUN tersebut.

Komen Rashid ini bukanlah kerana beliau menyokong PR, tetapi kerana itulah yang sepatutnya dilakukan oleh SPR mengikut lunas undang-undang oleh kerana keputusan speaker adalah muktamad dari segi undang-undang.

Terbuktilah bahawa Rashid yang satu ketika dahulu begitu dibenci bukanlah “begitu jahat”. Beliau menjadi “jahat” pada ketika itu oleh kerana tidak ada apa yang boleh beliau lakukan oleh kerana SPR berada dibawah kekuasaan JPM. Sesiapa sahaja walau sebaik manapun individu tersebut jika menjadi pengerusi atau anggota pesuruhjaya SPR selagi badan tersebut tidak bebas dari JPM akan melakukan perkara yang sama.

Dinegara jiran kita seperti di Thailand. SPR mereka mempunyai kuasa yang kuat. Sesiapa yang didapati terlibat dengan “rasuah politik” dalam pilihanraya, walaupun dibuktikan kesalahannya selepas seseorang individu tersebut menang dalam pilihanraya dan telah menjadi menteri, masih boleh dibatalkan kemenangannya.

Itulah yang berlaku kepada bekas perdana menteri mereka, Thaksin Shinawatra.

Walaupun tidak ada jaminan jika SPR bertanggungjawab dibawah parlimen maka badan tersebut akan menjalankan tugasnya dengan baik, sekurang-kurangnya, badan tersebut dilihat bebas.

Bukan seperti kini, SPR bukan sahaja dilihat tidak sebagai sebuah badan yang bebas tetapi badan tersebut turut dicurigai.

Jika PR benar-benar mahukan pilihanraya di Malaysia mencapai standard antarabangsa, inilah masanya untuk ahli-ahli Dewan Rakyat mereka untuk memperjuangkannya.

Jika perjuangan untuk pilihanraya yang bebas dan adil berlaku selepas kekalahan yang teruk dalam pilihanraya, maka benarlah kata-kata seorang ahli parlimen BN bahawa PR hanya perjuangkan pilihanraya bebas dan adil selepas kalah dalam pilihanraya. Jika mereka menang, semuanya senyap dan membisu mengenai isu ini.

Sumber klik: DISINI




No comments: