Tuesday, November 4, 2008

Rakyat Perak yang layak diseru daftar segera untuk air percuma

IPOH : Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyeru semua penduduk di negeri itu yang berpendapatan di bawah RM700 agar membuat permohonan mendapat bekalan air percuma 20 meter padu.

Menurut beliau, daripada 19,000 penama yang layak mendapat bantuan tersebut hanya 4,582 penama yang telah menghantar borang permohonan kepada Lembaga Air Perak (LAP).

Kesemua yang telah memohon itu mula menikmati bekalan air percuma semenjak Ogos lalu, kata Mohammad Nizar yang juga pengerusi LAP.

Kesemua yang telah memohon itu mula menikmati bekalan air percuma semenjak Ogos lalu, kata Mohammad Nizar yang juga pengerusi LAP.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Nizar menyatakan penguatkuasakan undang-undang Islam memerlukan perubahan terhadap sistem undang-undang sedia ada di semua peringkat.

Perubahan itu, katanya, juga memerlukan kajian dan perbincangan di semua peringkat terlebih dahulu tetapi sehingga kini belum ada perbincangan seumpama itu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita kenapa kerajaan negeri tidak menguatkuasa undang-undang Islam bagi menangani gejala maksiat yang membabitkan umat Islam yang mengunjungi rumah urut dan kelab-kelab malam.

Terdahulu, beliau merasmikan Ijtima' Gabungan Persatuan Agama Islam Negeri Perak di sini.

Beliau berkata banyak kajian yang perlu dibuat bagi mengekang tabiat orang Islam yang melakukan maksiat dan mengunjungi kelab-kelab malam serta rumah perjudian.

"Saya serahkan kepada semua persatuan yang berlandaskan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membuat perbincangan bagaimana caranya untuk melaksanakan sistem perundangan ini.

"Banyak kejadian yang tidak diingini berlaku berpunca dari tabiat meminum arak, main judi hinggakan suami sanggup memukul isteri gara-gara tidak sedarkan diri," Bernama memetik beliau berkata.

Mohammad Nizar yang baru melawat Pakistan minggu lepas berkata bandar raya Lahore yang mempunyai berjuta penduduk beragama Islam juga masih gagal menggunakan sistem perundangan Islam sepenuhnya.

"Di Lahore yang hampir seratus peratus penduduknya orang Islam juga masih menghadapi masalah untuk melaksanakan hukum yang sepatutnya," katanya.

No comments: